Sunday, 14 February 2016

Liverpool Benam Aston Villa l

BIRMINGHAM: Liverpool membelasah Aston Villa 6-0 di Villa Park pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi ketika penyerang, Daniel Sturridge meledak gol pertamanya dalam liga di bawah kendalian Jurgen Klopp. 

Penyerang England yang sering dihimpit kecederaan itu menjaringkan gol pertama skuad The Reds pada minit ke-16, sebelum James Milner menjadikan kedudukan 2-0 menerusi sepakan percuma pada minit ke-25. 

Liverpool Benam Aston Villa

Selesa 2-0 berakhir babak pertama, Liverpool terus bernafsu untuk menjaringkan gol dengan pesta jaringan pada babak kedua dimulakan menerusi Emre Can pada minit ke-58.

Penyerang Belgium, Divock Origi menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-63 diikuti jaringan kelima menerusi Nathaniel Clyne, dua minit kemudian. 

Pertahanan veteran, Kolo Toure melengkapkan jumlah jaringan Liverpool pada minit ke-71 buat menambah derita Villa yang menghuni tangga tercorot liga.

Bertemu Villa, Klopp membuat sembilan penukaran dalam kesebelasan utamanya berbanding ketika bertemu West Ham United pada kempen Piala FA, pertengahan minggu lalu. 

Paling dinantikan ialah kelibat Sturridge yang digandingkan buat pertama kali bersama dua pemain Brazil, Roberto Firmino dan Philippe Coutinho namun kedua-dua tonggak itu gagal menjaringkan gol. 

Pada pertembungan pertama kedua-dua pasukan musim ini, Liverpool menang 3-2 dengan Sturridge menyumbangkan dua jaringan di Anfield. 

Sebagai rekod, Aston Villa hanya mampu menewaskan Liverpool sekali di Villa Park daripada 17 pertemuan liga dengan yang diraih pada Mei 2011. 

No comments:

Post a Comment